Wednesday 13 April 2011

WANITA SYURGA..



Assalamualaikum wbt.. :)


Sememangnya mudah untuk kaum wanita untuk masuk syurga. Tidak perlu untuk terlalu bersusah payah kerana hanya empat resepi yang perlu dilakukan sebaiknya, sebagaimana dalam sebuah hadis Nabi menyatakan: 

Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)


 Jelaslah, 4 resepi ini adalah bukan sukar untuk dilaksanakan. Pertama, menjaga solat lima waktu dengan tidak sengaja meninggalkannya atau lalai dalam mengerjakannya. Kedua, berpuasa di bulan Ramadhan, dan ditambah lagi dengan puasa-puasa sunat yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT. Ketiga, menjaga kehormatan diri. Dan keempat, taat kepada suami.



 RESEPI PERTAMA: Solat Lima Waktu

Solat merupakan perkara paling penting dalam menentukan seseorang itu calon syurga atau neraka. Dan solat juga merupakan perkara pertama yang akan disoal Allah SWT di akhirat kelak. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: 

"Sesungguhnya perkara yang pertama sekali dikira dari amalan hamba di hari kiamat ialah solat; sekiranya solat itu sempurna, maka beruntung dan berjayalah dia, dan sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah dia, kalau kewajipan fardhu masih kurang, Allah berfirman: Lihatlah adakah amalan-amalan sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut. Demikianlah seterusnya dengan amalan yang lain" (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Apabila seseorang wanita dapat menjaga solatnya, maka telah luluslah dalam merencanakan resepi yang pertama ini.


RESEPI KEDUA: Berpuasa Di Bulan Ramadhan

Selain dari menjaga solat, berpuasa di bulan ramadhan juga merupakan langkah terbaik bagi menuju syurga Allah SWT. Memang tidak dinafikan, kemungkinan wanita untuk berpuasa penuh adalah agak sukar, namun tekad dan usaha untuk melaksanakan perintah Allah ini dengan penuh ketaatan, adalah lebih baik. 

Apabila tertunainya amanah ini, semakin mudahlah untuk wanita bagi memilih sebarang pintu syurga yang ingin dimasukinya.





RESEPI KETIGA: Menjaga Kehormatan Diri


Menjaga kehormatan diri adalah termasuklah mempunyai sifat malu dalam diri. Apabila suami tiada di rumah, isteri tidak boleh mengajak lelaki lain untuk masuk ke rumah tanpa suaminya. Selain itu, isteri tidak boleh mengucapkan sesuatu yang tidak baik, bahkan yang kurang sopan di hadapan suaminya. 

Apabila sifat malu dan sopan ini tidak ada dalam diri, maka akan akan hilanglah keimanan di dalam diri, secara tidak langsung gugurlah satu syarat untuk memilih pintu-pintu syurga Allah tersebut. Sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan bahawa: 

"Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak." (Hadis Riwayat Baihaqi)


RESEPI KEEMPAT: Taat Kepada Suami



Setelah selesai menunaikan hak-hak kepada Allah, hak kepada suami juga tidak boleh diabaikan dan diambil mudah. Ini adalah tanggungjawab isteri yang perlu dilaksanakan dengan sempurna. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: 



"Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

Dengan sikap inilah akan melahirkan suasana bahagia bersama suami dan anak-anak. Isteri yang taat kepada suami adalah lebih mudah untuk menjadi contoh ikutan buat anak-anak kerana isteri merupakan pusat rujukan dan contoh utama selain suami untuk diikuti oleh anak-anak. Isteri perlulah mempunyai kesabaran dan ketabahan yang tinggi dalam mengharungi liku-liku kehidupan berumah tangga. 



JANGAN JADI WANITA YANG RUGI


Lihatlah betapa besarnya ganjaran yang diberikan Allah kepada kaum wanita, hanya dengan menunaikan beberapa perkara, Allah SWT memberi peluang kepada wanita untuk memilih mana satu pintu-pintu syurga pilihannya. Dan yang paling penting, niat semestinya perlu tulus ikhlas, semata-mata bagi mencari redha Allah SWT.

Jangan menjadi golongan yang rugi, yang tidak mengambil iktibar dari peringatan Allah ini. Sesungguhnya Allah telah membuka rahmatNya seluas-luasnya kepada kita, hanya kita yang perlu mencari dan mensyukuri nikmatNya. Elaklah diri para wanita dari menjadi menjadi celaan Allah SWT di akhirat kelak, seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakar RA, bahawa Rasullullah SAW pernah bersabda: 


"Seorang wanita yang menyakiti hati suami dengan lidahnya, dia mendatangkan celaan dan kemurkaan Allah, para malaikat dan umat manusia." 

 Selain itu, Saidina Ali Radhiallahu Anhu meriwayatkan sebuah hadis mengenai setiap isteri yang tidak menghormati status suaminya. 
"Wanita yang berkata kepada suaminya yang tidak melihat apa-apa kebaikan pada suaminya, Allah menghapuskan segala perbuatan baiknya selama 70 tahun, walaupun dia berpuasa selama itu siang hari dan bersembahyang pada malamnya." (Hadis Riwayat Imam Majah dan An-Nasai)


 Wallahua’alam…

Sekadar Perkongsian…






                                                                       



AYUH KAUM HAWA..... JANGAN KITA MERUGIKAN DIRI KITA SENDIRI.. KELAK BINASALAH KITA...
TEGUHKAN HATIMU... JANGAN MUDAH MENGALAH.. SEBERAT MANA UJIANMU.. HIDUP MESTI DITERUSKAN....
PASTIKAN CINTA ALLAH... CINTA TERTINGGI DI HATIMU...^^, BAHGIALAH SENATIASA.. KERNA DIA ADA DISISI...

No comments:

Post a Comment